KUALA LUMPUR 21 Julai - Malaysian Relief Agency (MRA) bersedia memberikan bantuan kepada masyarakat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar yang kini tertindas.
Setiausaha Agungnya, Dr. Mohd. Daud Sulaiman berkata, MRA akan menghantar dua pegawainya ke Myanmar pada minggu pertama Ramadan ini bagi tujuan tersebut.
Tambahnya, MRA telah mengenal pasti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana yang akan membantu dalam misi kemanusiaan itu.
"Kami telah mengenal pasti keperluan asas seperti makanan dan minuman selain perubatan yang amat diperlukan masyarakat Islam Rohingya di sana untuk disalurkan lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan anak-anak yatim dari Padang, Indonesia, lima doktor dari Gaza, Palestin, wakil Al-Khidmat Pakistan dan wakil komuniti Rohingya sempena kedatangan Ramadan di kediaman beliau di sini.
Menurut Mohd. Daud, misi itu bukan sahaja bertujuan memberikan bantuan di perlukan kepada masyarakat di sana tetapi bagi memperoleh maklumat sebenar keadaan krisis di Arakan.
"Maklumat yang diperoleh ketika ini amat terhad dan diharapkan pegawai kami nanti akan membawa pulang bersama segala maklumat yang sangat penting bagi misi seterusnya ke Myanmar selepas ini," jelasnya.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai dan badan korporat menghulurkan bantuan menerusi MRA bagi bersama-sama meringankan beban masyarakat Islam Rohingya.
"Dana yang diperlukan untuk misi ini agak besar, justeru, mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank MRA di nombor 5640 9820 6365 atau mendapatkan maklumat lanjut di www.mra.my," katanya.
Source here
Comments